Garis panduan baharu selamat mangsa banjir akan dibentang kepada MKN

Ridauddin Daud
September 28, 2020 16:05 MYT
Mesyuarat itu antara lain turut dihadiri wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Meteorologi (METMalaysia).
PUTRAJAYA: Kerajaan sedang merangka garis panduan baharu bagi operasi menyelamat mangsa banjir dengan memberi tumpuan terhadap prosedur operasi standard (SOP) membendung penularan COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusop berkata, draf itu akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk proses kelulusan dalam masa terdekat.
Menurutnya, pematuhan SOP di pusat pemindahan banjir mudah dilakukan tapi masalah biasanya berlaku ketika operasi menyelamatkan mangsa terperangkap.
“Jadi kita telah buat draf SOP contohnya bagi anggota yang dipertanggungjawabkan menyelamatkan mangsa yang terperangkap untuk dipindahkan dengan menaiki bot.
“Kita perlu memastikan pegawai kita memakai PPE (pakaian perlindungan diri) tertentu supaya mereka tidak terdedah kepada orang yang diselamatkan itu, kerana kita tidak tahu mereka positif COVID-19 atau sebaliknya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di sini pada Isnin.
Mesyuarat itu antara lain turut dihadiri wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Meteorologi (METMalaysia).
Dalam pada itu, Redzuan berkata berdasarkan ramalan menggunakan peralatan berteknologi tinggi, Malaysia dijangka tidak menghadapi bencana alam besar dalam masa terdekat.
“Contoh tahun ini kita tak nampak pun berlakunya jerebu. Dari situ kita boleh meramal yang tidak ada kejadian yang lebih mengancam dalam masa terdekat atau dalam masa sederhana.
"Kita ada ramalan daripada METMalaysia. Mengikut kaedah, pengalaman yang kita telah lalu, boleh buat ramalan yang bukanlah begitu tepat tapi cukup untuk kita ramal jenis bencana yang kita hadapi,"katanya.
#SOP #KKM #Media #banjir #Perdana Menteri #jerebu #kerajaan #Kementerian Kesihatan #kesihatan #mangsa banjir #pusat pemindahan #keselamatan #Majlis Keselamatan Negara #MKN
;