Garis panduan baharu pemberian baucar buku mulai 1 Mei
Bernama
April 29, 2014 12:38 MYT
April 29, 2014 12:38 MYT
Kerajaan telah memperkenalkan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) sejak 2012. Sehingga kini BB1M dimanafaatkan oleh lebih 3.9 juta mahasiswa pra-universiti dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) warganegara Malaysia dengan peruntukan RM 890 juta.
Tujuan utama kerajaan memperkenalkan BB1M adalah untuk meringankan beban perbelanjaan pembelian buku-buku pengajian dan memupuk minat membaca di kalangan rakyat Malaysia.
Bagi tahun 2014, peruntukan sejumlah RM325 juta telah diluluskan oleh kerajaan untuk menjayakan pemberian BB1M kepada 1.3 juta mahasiswa. Oleh itu, bagi memastikan pemberian BB1M mencapai matlamatnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkemaskan garis panduan pemberian BB1M ini yang berkuatkuasa pada 1 Mei 2014. BB1M ini hanyalah untuk pembelian buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah sahaja. Kelonggaran membolehkan mahasiswa mengguna sebanyak 20% daripada nilai baucar yang tidak dapat dihabiskan untuk membeli barangan lain selain buku adalah dimansuhkan.
KPM amat memandang serius terhadap sebarang penyalahgunaan BB1M dan menghargai aduan berkenaan penyalahgunaan BB1M daripada orang ramai. Oleh itu garis panduan tersebut memperketatkan peraturan kepada pekedai buku iaitu mana-mana pekedai buku yang didapati BERSALAH menyalahgunakan BB1M akan disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan menyertai program BB1M selama tiga tahun berturut-turut. Ini adalah tambahan kepada peraturan sedia ada iaitu tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403, Kanun Keseksaan ke atas pihak yang menyalahgunakan BB1M.
Adalah diharapkan tidak akan berlaku kekeliruan di antara pekedai buku dan mahasiswa dalam pindaan garis panduan BB1M ini. Garis panduan ini dapat memudahkan kedua-dua pihak dan diguna dengan sebaiknya selaras dengan objektif BB1M.
Maklumat lanjut mengenai pindaan garis panduan tersebut boleh didapati melalui portal rasmi KPMwww.moe.gov.my. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada urusetia BB1M melalui e-melbb1m@moe.gov.my .