Garis panduan baharu DBKL mampu kurangkan kes berkaitan arak - Firdaus Wong

Astro Awani
November 24, 2020 11:30 MYT
Tindakan DBKL memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras diyakini membantu menurunkan kes kemalangan, kematian dan jenayah berkaitan dengan arak. -Gambar fail
KUALA LUMPUR : Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan garis panduan baharu pelesenan minuman keras diyakini dapat membantu mengurangkan kes kemalangan, kematian dan jenayah berkaitan dengan arak.
Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM) Firdaus Wong berkata beliau yakin DBKL telah melakukan kajian sebelum menguatkuasakan undang-undang baharu itu yang sepatutnya disokong semua pihak yang mementingkan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, tindakan melarang kedai runcit dan kedai serbaneka menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan bukan untuk mengehadkan hak masyarakat bukan Islam, tetapi bagi melindungi semua rakyat Malaysia.
“Satu kajian telah dilakukan di bandar Diadema, Brazil yang mempunyai kadar pembunuhan yang sangat tinggi di mana 65 peratus kes pembunuhan ada kaitan dengan pengambilan alkohol dan waktu kejadian di antara 11 malam hingga 6 pagi.
“Pada Julai 2002, undang-undang baharu mewajibkan bar ditutup pada jam 11 malam dan hasilnya kes pembunuhan menurun sebanyak 44 peratus dan kes penderaan wanita menurun 17 peratus.
“Saya percaya undang-undang baharu DBKL itu akan membantu menurunkan kes kemalangan, kematian dan jenayah yang berkaitan dengan arak,” katanya dalam satu kenyataan.
Begitupun, beliau terkejut kerana masih ramai yang cuba mewujudkan sentimen Islam 'versus' bukan Islam.
"Kita sepatutnya malu apabila Singapura terlebih awal menguatkuasakan undang-undang yang hampir sama pada 1 April 2015 berbanding Malaysia, sebuah negara majoriti Muslim yang hanya akan menguatkuasakannya pada 1 Oktober tahun depan.
“Di Singapura, mereka tidak boleh minum arak dari jam 10.30 malam hingga 7 pagi, manakala di kawasan Geylang dan Little India lebih ketat kerana dilarang meminum arak dari jam 7 pagi Sabtu hingga 7 pagi Isnin," katanya dalam satu kenyataan.
Firdaus turut memberi contoh di Ireland yang mengehadkan penjualan arak dari jam 10.30 pagi hingga 10 malam pada hari biasa dan 12.30 tengah hari hingga 10 malam pada hari Ahad.
Bahkan, katanya, negara itu turut mengharamkan pengiklanan arak di pengangkutan awam dan pawagam bermula 12 November 2019.
“Ireland juga mengehadkan pengiklanan arak di kedai runcit, acara majoriti peserta kanak-kanak serta acara perlumbaan motor dan kereta diharamkan.
"Perancis juga mengharamkan pengiklanan arak secara terbuka pada tahun 1991," katanya.
#DBKL #penjualan arak #pemandu mabuk #jenayah #minuman keras #kemalangan maut #MRM #Firdaus Wong #Multiracial Reverted Muslims
;