Garis kemiskinan perlu diubah tetapi tidak seburuk yang didakwa PBB - Tun Mahathir
Isabelle Leong
Ogos 29, 2019 22:08 MYT
Ogos 29, 2019 22:08 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akui bahawa garis kemiskinan yang sedia ada iaitu pada tahap pendapatan bulanan RM950 bagi seisi rumah perlu diubah.
Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan bahawa kadar kemiskinan negara tidak seburuk seperti apa yang dikatakan Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Philip Alston.
“Garis kemiskinan? Terdapat keperluan untuk mengubahnya.
“Tetapi ia tidak seburuk seperti yang dinyatakan oleh orang yang datang ke sini untuk satu hari, tinggal di hotel besar dan kemudiannya membuat kesimpulan,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Khamis.
Tambahnya, mesyuarat Kabinet telah membincangkan isu kemiskinan dan garis kemiskinan serta akan mengambil tindakan.
Pada 23 Ogos, Alston mendakwa situasi kemiskinan di Malaysia jauh lebih buruk daripada yang digambarkan oleh kerajaan.
Dalam satu laporan yang didedahkan, Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.
Sebaliknya, kata beliau, kadar kemiskinan yang sebenar di Malaysia adalah kira-kira 15 peratus.
#garis kemiskinan
#Mahathir Mohamad
#PBB
#Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia
#Philip Alston