Garis kemiskinan perlu ambil kira perbezaan wilayah - Ahli parlimen

Bernama
Julai 22, 2020 20:52 MYT
Nik Nazmi berkata ini kerana kos sara hidup adalah berbeza mengikut situasi tertentu yang turut perlu diambil kira. - Foto BERNAMA
Seorang ahli parlimen pembangkang hari ini mencadangkan agar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dibuat secara lebih terperinci dengan mengambil kira perbezaan kriteria mengikut wilayah.
Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) berkata ini kerana kos sara hidup adalah berbeza mengikut situasi tertentu yang turut perlu diambil kira.
"Pendapatan RM3,000 pun cukup makan saja, bukan saja di Kuala Lumpur dan Lembah Klang, tetapi Pulau Pinang, Johor Bahru malah Kuching dan Kota Kinabalu," katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan mengumumkan PGK telah disemak semula kepada RM2,208 berdasarkan pengiraan yang dibuat mengikut metodologi pada 2019.
Berdasarkan metodologi 2019 itu, lebih 400,000 isi rumah di negara ini didapati berada pada paras kemiskinan.
Sementara itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun) mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang tambahan menangani kesan COVID-19 bagi membantu perniagaan yang terjejas oleh wabak itu.
Beliau berkata terdapat negara yang mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan sebagai perkara yang tidak boleh dielakkan bagi mengawal penularan wabak dan dianggap force majeure (situasi luar jangka yang menyebabkan seseorang gagal penuhi kontrak).
"Di kebanyakan negara lain, isu ini telah cuba ditangani di awal bermulanya PKP... (pengisytiharan) ini membawa makna bahawa pihak yang kerugian akibat PKP tidak boleh menyalahkan rakan perniagaannya yang tidak dapat memenuhi tempahan," katanya.
Beliau menyarankan persidangan untuk membahaskan perkara itu secara terperinci dan meluluskan pindaan terhadap Akta Syarikat 2016 bagi menangani keadaan semasa.
Persidangan Dewan disambung esok.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #garis kemiskinan #kerajaan #koronavirus #Nik Nazmi #perangkaan #perintah kawalan pergerakan #PGK #PKP #rakyat #rumah #undang-undang
;