Gardenia tingkat pengeluaran 5 peratus kepada 2.2 juta buku roti sehari
Bernama
Mac 28, 2020 18:51 MYT
Mac 28, 2020 18:51 MYT
Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd telah meningkatkan pengeluarannya ke tahap 2.2 juta buku roti sehari menerusi lima buah kilangnya yang beroperasi selama 24 jam.
Pengurus Besar Kanannya, Desmond Tan, berkata pengeluaran berkenaan merupakan penambahan sebanyak lima peratus dari jumlah pengeluaran sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Bekalan ini mampu menampung sebanyak 60 peratus daripada permintaan roti dari seluruh Semenanjung Malaysia dengan jenama lain turut mengalami permintaan yang tinggi sejak PKP dilaksanakan," katanya selepas menerima lawatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, ke kilang itu, di sini pada Sabu.
Katanya, walaupun berlaku peningkatan kadar pengeluaran roti, pihaknya sentiasa mengikut piawaian yang ditetapkan termasuk aspek kebersihan, penghantaran dan pengurusan roti yang telah tamat tempoh.
Sementara itu, Rosol bersetuju agar peruncit melaksanakan pembelian roti terhad secara kendiri mengikut keperluan lokaliti masing-masing demi menjaga kebaikan pengguna yang lain.
-- BERNAMA
#COVID-19
#Desmond Tan
#Gardenia
#Gardenia Bakeries KL Sdn Bhd
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#roti