Gara-gara tuntut wang insurans, bapa simbah anak kandung dengan air panas
Astro Awani
Mei 10, 2019 10:54 MYT
Mei 10, 2019 10:54 MYT
Seorang bapa tergamak menyimbah air panas ke tubuh anak kandungnya hanya kerana tidak berpuas hati anak lelakinya itu menuntut sejumlah wang insurans.
Dalam kejadian jam 6.30 petang Selasa lepas di sebuah pangsapuri di Bukit Gelugor, di sini, mangsa yang berusia 35 tahun itu melecur di muka dan badan selepas disimbah air panas oleh bapanya yang berusia 66 tahun.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Che Zaimani Che Awang berkata kejadian berlaku apabila mangsa yang tidak bekerja meminta wang berjumlah RM30,000 hasil tuntutan wang insurans perlindungan mereka sekeluarga daripada bapanya.
Bagaimanapun bapa mangsa enggan memberikan wang tersebut sebaliknya hanya menunjukkan wang RM10 kepada mangsa.
Ekoran itu berlaku pertengkaran mulut di antara mereka sebelum bapa mangsa bertindak menyimbahnya dengan air panas.
Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan membuat laporan polis.
Menurutnya ini merupakan kejadian kali kedua dia disimbah air panas.
Mangsa memaklumkan, bapanya telah mengagihkan wang tuntutan insurans yang dicarum mendiang ibunya sejak mereka kecil itu kepada adik beradiknya yang lain, namun mangsa mendakwa tidak mendapat bahagiannya.
Mangsa berkata dia sudah beberapa kali meminta bapanya menyerahkan bahagian wang insurans miliknya, namun bapanya sering memberi pelbagai alasan.
Sementara itu, pihak polis telah menahan bapa mangsa pada Khamis untuk siasatan lanjut.
Hasil soal siasat, lelaki berusia 66 tahun itu mengaku telah menyimbah anak lelakinya itu dengan air panas dalam keadaan marah.
Lelaki warga emas itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu tindakan selanjutnya.
Che Zaimani berkata kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang.
#bapa simbah anak
#Che Zaimani Che Awang
#disimbah air panas
#pangsapuri di Bukit Gelugor
#Seksyen 324
#wang tuntutan insurans