Gara-gara terlanggar polis, penagih lari tinggalkan isteri sarat mengandung

Afiezy Azaman
Jun 24, 2019 16:07 MYT
Ketika kejadian pada Isnin, kedua-dua anggota polis itu sedang mengadakan sekatan jalan raya di Persiaran Kuala Selangor Seksyen 15, Shah Alam. -Foto PDRM
Dua anggota polis mengalami kecederaan setelah dilanggar seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.
Ketika kejadian pada Isnin, kedua-dua anggota polis itu sedang mengadakan sekatan jalan raya di Persiaran Kuala Selangor Seksyen 15, Shah Alam.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib kedua anggota berkenaan dikenali sebagai Hasnol, 55, parah di seluruh badan manakala rakannya, Ahmad Haizaki, 35, cedera di kaki kiri.
"Kejadian berlaku pada 10.45 pagi, ketika mereka bersama 17 lagi anggota termasuk pegawai mengadakan sekatan jalan raya.
"Sebuah kenderaan jenis Proton Gen 2 dinaiki suspek dan isterinya berusia 22 tahun didapati telah memotong barisan sebelum memecut laju dan melanggar Hasnol.
"Beberapa anggota kemudiannya mengejar kenderaan dipandu suspek itu sebelum Ahmad Haizaki turut dilanggar semasa cuba menahan kenderaan tersebut
"Selepas mengejar sejauh tiga kilometer kenderaan suspek akhirnya berjaya ditahan di Bulatan Andalas Seksyen 18," menurutnya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Baharudin berkata suspek kemudian bertindak meninggalkan isteri yang sarat mengandung 7 bulan di dalam kereta untuk melarikan diri namun berjaya diberkas.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku di bawah pengaruh dadah jenis syabu.
"Suspek juga didapati tidak mempunyai lesen memandu selain mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi kenderaan," katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Dadah 1952.
#Ahmad Haizaki #Baharudin Mat Taib #Bulatan Andalas #di bawah pengaruh dadah #dilanggar penagih #Proton Gen 2 #Sekatan Jalan Raya
;