Gara-gara tegur pemuda, 'Pak Cu Halim' maut dibelasah sampai pecah kepala
Vivi Sumanti
Januari 25, 2018 19:21 MYT
Januari 25, 2018 19:21 MYT
Sudah beberapa kali pemuda yang dipercayai mengalami masalah mental bertindak membaling objek termasuk batu dan kayu ke arah rumah jiran bahkan pengguna jalan raya pernah terkena objek yang dibaling.
Namun tindakannya hari ini membawa kepada kematian seorang bekas anggota polis yang dipukul dengan objek keras dipercayai kayu hingga maut.
Dalam kejadian di Kampung Apa-Apa di sini itu seorang pesara polis maut apabila dipukul oleh suspek yang dikatakan berpunca dari tegurannya supaya pemuda terbabit menghentikan perbuatan gemar membaling objek ke arah rumah dan kenderaan.
Mangsa Abdul Halim Yusof, 68 tahun meninggal dunia sejurus tiba di hospital Pasir Mas (HPM).
Menurut jiran mangsa, Aziz Mat, 62 tahun mangsa di pukul oleh suspek yang juga jirannya di dalam semak berhampiran belakang rumah suspek sekitar jam 2.30 petang tadi.
Katanya kejadian disedari apabila beliau mendengar bunyi bising dari arah tingkap rumahnya yang jaraknya sekitar 10 meter.
“Saya dengar mangsa marah pada suspek baling rumah, baling batu, kayu jadi dia pergi tegur suspek. Dia baling sampai empat kali baling, mangsa pergi kat suspek tegur belakang rumah suspek.
"Saya tidak nampak selepas itu saya tengok isteri mangsa berlari pergi keluar balik, dia cakap Pak Cu Halim kena pukul oleh suspek sampai pecah kepala”, katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya lagi selepas itu isteri mangsa berusia 60 tahun meminta tolong beliau dan jiran lain sebelum mengangkat mangsa yang pada ketika itu dalam keadaan tenat dengan luka yang parah di bahagian kepala.
Beliau berkata, dalam keadaan mangsa yang masih lagi bernyawa, dia sempat mengajar mengucap sebelum dibawa menaiki ambulan ke HPM.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, suspek berusia 30an telah pun di tangkap polis sejurus menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.