Gara-gara takut dimarahi, murid 12 tahun dakwa dirinya diculik
Astro Awani
Jun 20, 2019 08:43 MYT
Jun 20, 2019 08:43 MYT
Gara-gara takut dimarahi kerana lewat pulang ke rumah, seorang murid menipu ibunya dengan mendakwa dia telah diculik sekumpulan lelaki ketika dalam perjalanan pulang.
Murid berusia 12 tahun itu mendakwa dia cuba diculik sekumpulan lelaki yang menaiki van berwarna putih selepas bemain futsal di Kampung Jambu Bongkok, Marang pada Selasa.
Kanak-kanak terbabit berkata ketika dalam perjalanan pulang ke rumah kira-kira jam 7 malam dia dihampiri sebuah van dengan nombor pendaftaran MBJ 4757 sebelum seorang menariknya dari belakang.
Bagaimanapun dakwanya, dia berjaya melawan dan sempat melepaskan diri dan berlari ke belakang sebuah rumah tidak berpenghuni sebelum pulang ke rumah memaklumkan kejadian itu kepada ibunya.
Pelajar terbabit bersama ibunya itu kemudian segera ke Balai Polis Merchang untuk membuat laporan.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allauden Abdul Majid berkata tiada insiden penculikan yang berlaku sebagaimana dakwaan murid berkenaan.
Jelasnya, hasil siasatan yang dilakukan mendapati laporan dibuat itu tidak benar dan kejadian itu menjadi tular sehingga menimbulkan kerisauan semua golongan ibu bapa
“Di Terengganu ni, alhamdulillah tiada aktiviti penculikan sama ada kanak-kanak ataupun remaja.
“Yang melibatkan elemen jenayah ni tiada setakat ini cuma kita seru kepada ibu bapa walau supaya perlu sentiasa mengawasi anak-anak di mana mereka pergi, dan dengan siapa mereka berkawan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau juga meminta orang ramai agar menghentikan penyebaran berita yang tidak betul itu dengan serta merta kerana ia boleh boleh mendatangkan kebimbangan kepada seluruh masyarakat.
#Balai Polis Merchang
#diculik sekumpulan lelaki
#Kampung Jambu Bongkok
#murid 12 tahun
#van berwarna putih