Gara-gara tak dapat MC, doktor ditampar

Astro Awani
Januari 20, 2019 12:26 MYT
Seorang doktor Hospital Pulau Pinang ditampar suami kepada pesakit wanitanya gara-gara enggan mengeluarkan sijil cuti sakit. -Gambar fail
Gara-gara enggan mengeluarkan sijil cuti sakit, seorang doktor hospital kerajaan di sini ditampar suami kepada pesakit wanitanya awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang pada jam 1.17 pagi, doktor berusia 29 tahun itu ditampar lelaki itu sejurus selepas isteri suspek selesai menjalani rawatan, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zamani Che Awang berkata suspek ditahan susulan laporan yang dibuat doktor berkenaan.
"Selepas merawat wanita terbabit, doktor itu tidak memberi sijil cuti sakit kepadanya seperti yang diminta. Kemudian, suami wanita terbabit yang berang terus menampar pipi sebelah kiri doktor tersebut.
"Doktor berkenaan terus membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan polis berjaya menahan suspek," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Che Zaimani berkata suspek berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu positif dadah dan mempunyai rekod lampau.
"Ujian saringan air kencingnya mendapati positif syabu. Semakan juga mendapati dia mempunyai dua rekod jenayah melibatkan dadah dan mencuri.
"Lelaki berasal dari Flat Padang Tembak itu kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
#Che Zamani #ditampar suami pesakit #Doktor #Flat Padang Tembak #Hospital Pulau Pinang #pemandu lori #positif syabu #sijil cuti sakit
;