Gara-gara suka gigit wayar, anjing 'diheret' belakang trak pikap
Astro Awani
Februari 12, 2019 21:32 MYT
Februari 12, 2019 21:32 MYT
Seorang pemilik anjing ditahan setelah didakwa mengheret seekor anjing pada kenderaannya dalam kejadian di Jalan Kota, di sini Ahad malam lalu.
Dalam kejadian yang tular di media sosial itu, haiwan tersebut diilihat tergantung pada sisi kenderaan dan diseret sepanjang perjalanan.
Laporan polis dibuat pengadu di Balai Polis Pokok Assam, di sini, pada Isnin selepas rakaman video itu menjadi tular, lapor Sinar Harian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada 3.45 petang semalam apabila pengadu menerima satu rakaman video menerusi laman sosial WeChat daripada rakannya sewaktu berada di hadapan sebuah restoran makanan segera terkemuka di Simpang, semalam.
Menurutnya, dalam rakaman video itu, pengadu menyaksikan terdapat seorang pemilik kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax bertindak mengikat seekor anjing pada kenderaannya.
"Rakaman video itu turut menyaksikan kenderaan itu bertindak menyeret anjing terbabit sepanjang perjalanannya ke suatu lokasi.
"Susulan itu, pengadu berasa tidak puas hati dengan tindakan pemilik kenderaan berkenaan dan membuat laporan polis semalam kerana menganggap tindakan itu tidak berhati perut kerana mengheret anjing itu tanpa belas kasihan," katanya kepada media di sini hari ini.
Razlam berkata, polis membuat semakan ke atas kenderaan itu dan siasatan ke atas pemiliknya mendapati kenderaan itu dipandu bapaya yang berusia 58 tahun pada malam kejadian iaitu 10 Februari lalu.
"Susulan itu, suspek lelaki berkenan ditangkap di rumahnya semalam.
"Siasatan lanjut ke atas suspek mendapati anjing itu dipeliharanya lebih dari setahun.
"Sewaktu kejadian, suspek memaklumkn hendak membuang anjing itu kerana haiwan itu kerap kali mengigit wayar di rumahnya," katanya.
Razlam berkata, siasatan awal ke atas suspek turut mendapati anjing itu diletakkan di bahagian belakang kenderaan sewaktu hendak dibuang.
"Namun, suspek menegaskan tidak sedar anjing itu terjatuh daripada kenderaan dan menyebabkan diseret di sepanjang perjalanan.
"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 44 (1)(a) Akta Binatang 1953," katanya.
#Balai Polis Pokok Assam
#Isuzu Dmax
#Jalan Kota
#media sosial
#pacuan empat roda
#Razlam Ab Hamid
#seret anjing
#video
#WeChat