Gara-gara subang tersangkut di hidung, wanita panggil bomba
Adie Sufian Zulkefli
Julai 2, 2020 10:00 MYT
Julai 2, 2020 10:00 MYT
Lazimnya subang dipakai di telinga. Namun, mungkin hendakkan kelainan, seorang wanita di sini memakai perhiasan itu di hidung.
Bagaimanapun, dia kemudiannya gagal mengeluarkan subang tersebut, menyebabkan dia terpaksa meminta bantuan bomba untuk mencabut subang yang tersangkut pada hidungnya.
Dalam kejadian jam 10.20 malam tadi, wanita berusia 30 tahun itu gagal mengeluarkan sendiri subang yang tersangkut di hidungnya menyebabkan dia menghubungi pasukan penyelamat ke rumahnya di Jalan Stadium, di sini.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.26 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Jamaludin Jasin tiba di lokasi jam 10.29 malam.
Katanya sebaik tiba mangsa menangis dan dalam keadaan panik.
Beliau berkata, operasi perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kecederaan pada mangsa.
Anggotanya mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan subang dengan menggunakan dua unit alat pemotong khas.
Menurut Mohamadul Ehsan, subang itu berjaya dikeluarkan tanpa sebarang kecederaan pada mangsa.
#bomba
#hidung
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#JBPM Kedah
#mangsa
#Mohamadul Ehsan Mohd Zain
#panik
#subang hidung
#subang tersangkut
#tersangkut