Akibat degil bermain futsal ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), lapan remaja terpaksa membayar kompaun keseluruhan berjumlah RM8,000 selepas perbuatan mereka dikesan polis di sini, malam Selasa.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, semua mereka yang berusia antara 15 hingga 20 tahun, dilihat bermain futsal ketika sepasukan anggota polis membuat rondaan di Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kumpulan itu bagaimanapun bertempiaran melarikan diri sebaik dihampiri pasukannya.

"Mereka meninggalkan beberapa buah motosikal serta barang-barang peribadi termasuk telefon bimbit.


"Polis kemudian membawa semua barangan itu ke Balai Polis Kuala Berang untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Bagaimanapun, kira-kira jam 1 pagi tadi (Rabu), semua mereka hadir ke balai polis itu dan seterusnya ditahan untuk siasatan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya di sini, pada Rabu.

Katanya, semua mereka turut dikompaun RM1,000 setiap seorang.