Gara-gara mahu makan ikan bilis, penagih syabu belasah ibu sendiri
Qaisara Umaiyah
April 24, 2020 16:56 MYT
April 24, 2020 16:56 MYT
Akibat ditegur sewaktu makan, seorang lelaki tergamak menengking dan memukul ibunya dalam kejadian kira-kira 7 petang, Selasa lalu di kediamannya di Kampung Tanjung Paras, di sini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika kejadian, lelaki berusia 22 tahun itu ingin memakan ikan bilis mentah bersama cuka dan lada.
Bagaimanapun, ibu suspek memberitahu hanya baki makanan tengah hari sahaja yang tinggal.
“Suspek tiba-tiba berang dan menghempas ikan bilis berada di tangannya serta membuang cuka dan lada ke lantai.
“Setelah itu, ibu suspek yang juga pengadu menyediakan makanan dan suspek turut mengambil makanan lalu makan di ruang tamu,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Nasri, pengadu menghampiri anaknya di ruang tamu untuk menasihatinya sebelum tiba-tiba suspek mengamuk lalu menghempas pinggan ke lantai.
"Suspek kemudian bangun dan menengking ibunya. Kejadian disedari adik pengadu yang tinggal berhampiran telah datang ke rumah pengadu selepas mendengar bunyi bising.
“Suspek bertindak memukul mangsa di bahagian belakang menggunakan tangan.
Tambah Nasri, ibu suspek kemudian menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan dan mengesyaki anaknya mengambil syabu.
"Sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) telah ke tempat kejadian setelah dimaklumkan kejadian lelaki mengamuk di Tanjung Paras dan kemudian membawa suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
“Ujian air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan/18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," katanya.