Gara-gara kenyataan 'KP Kesihatan takut mati', Dewan Rakyat jadi medan bertikam lidah

Firdaus Azil
November 11, 2020 16:58 MYT
Tiong King Sing dakwa Dr Noor Hisham takut mati dan enggan turun ke Sabah, tatkala negeri itu paling teruk dilanda gelombang ketiga COVID-19. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sidang perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 hari ini kecoh, dan bertukar menjadi medan jeritan, apabila Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) mendakwa Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah takut mati.
Ketika membahaskan Belanjawan 2021, Tiong mendakwa Dr Noor Hisham tidak berani turun ke Sabah, tatkala negeri itu mengalami kesan paling teruk akibat gelombang ketiga COVID-19.
Dakwaan itu menyebabkan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit membantah kenyataan itu, yang beliau sifatkan sebagai penghinaan kepada Dr Noor Hisham dan barisan hadapan.
“DG hari hari buat berita saja, bikin apa? Kalau berita, pagi itu office boy dia pun boleh baca. Kenapa dia tidak turun padang? Macam KK (Kota Kinabalu) sekarang, Sabah begitu teruk, begitu hebat pandemik COVID-19.
“Kenapa dia tidak turun melawat tiap-tiap hospital? Temporary hospital? Kita pergi tengok berbincang beri sokongan kepada barisan hadapan. Doktor, jururawat yang bekerja di sana. Jangan hantar saja doktor pergi, jururawat pergi. Oh.. itu orang tak takut mati, tapi DG takut mati,” katanya lagi.
Tiong berkata, tidak sepatutnya Ketua Pengarah Kesihatan buat publisiti setiap hari, dan mendakwa Dr Noor Hisham cuba meletakkan dirinya sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Rayer kemudian bangkit mengatakan Tiong sepatutnya tidak menghina Dr Noor Hisham, dan perlu memberi penghormatan yang sewajarnya.
“Speaker jangan benarkan dia untuk menghentam DG. DG adalah frontliner,” tegasnya lagi.
Tiong kemudian menyambung perbahasannya, bertanyakan mengapa Kompleks Penjara di Lahad Datu tidak dikenakan lockdown, atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan lebih awal.
Rayer sekali lagi bertegas meminta Speaker mengarahkan Tiong menarik balik perkataan KP takut mati, dan menyebabkan keadaan menjadi kecoh.
Timbalan Speaker Datuk Seri Azalina Othman Said kemudian beberapa kali meminta Jelutong duduk untuk beliau memutuskan mengenai kenyataan Tiong.
Keengganan Rayer menyebabkan Azalina mengarahkan Bentara mengeluarkan Jelutong dari Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Bintulu itu menegaskan beliau tidak akan menarik balik kenyataan itu, mengatakan itu sebenarnya rintihan dari barisan hadapan dan rakyat.
Walaupun beberapa Ahli Parlimen Pembangkang membantah, Azalina berkata beliau telah mendengar dan menerima penjelasan Tiong, dan meminta pembangkang merujuk Penyata Dewan Rakyat untuk melihat kembali penerangan Ahli Parlimen Bintulu itu.
#Tiong King Sing #Azalina Othman Said #Dr Noor Hisham Abdullah #Dewan Rakyat #mati #takut mati #Sabah #Parlimen #pembangkang #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #COVID-19
;