Gara-gara hilang telefon, pemuda didakwa ugut tikam ibu sendiri

Astro Awani
November 8, 2018 14:57 MYT
Mohd Haiqal yang bekerja sebagai pembantu kedai makan didakwa menakutkan secara jenayah kepada ibunya, Julia Mohd Ali. - Foto Astro AWANI

Gara-gara cuba menikam ibu kandung dengan menggunakan sebilah pisau selepas mendakwa telefon bimbitnya hilang di dalam rumah, seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.

Tertuduh, Mohd Haiqal Hamdan, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, Mohd Haiqal yang bekerja sebagai pembantu kedai makan didakwa menakutkan secara jenayah kepada ibunya, Julia Mohd Ali, 44, di sebuah rumah di Jalan Klebang Kecil, Melaka sekitar 11 pagi, 17 Julai lalu.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan kedua dimana dia didakwa melakukan ugutan sama terhadap bapa tirinya Lili Noorazahar Mahani, 45, yang cuba untuk meleraikan keadaan di lokasi dan masa yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kedua-dua mangsa merupakan ahli keluarganya.

Mohd Haiqal yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminannya dikurangkan dengan alasan dia menjaga nenek yang sakit selain hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Kim Keat pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 11 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

#jenayah #mahkamah #Mahkamah Majistret #mangsa #pemuda #penjara #tikam ibu
;