Gara-gara gurauan, remaja lelaki maut dalam kebakaran tandas awam

Bernama
Ogos 28, 2022 22:39 MYT
Api telah padam sebaik bomba tiba dan pemeriksaan kemudian menemui mayat mangsa di dalam tandas awam yang terbakar. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA SELANGOR: Gara-gara ingin bergurau dengan rakan membawa padah apabila seorang remaja lelaki ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah tandas awam di Bandar Puncak Alam petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.35 petang dan apabila tiba di lokasi didapati api telah padam serta menemukan Muhamad Damin Mikhail Kansol, 16, yang rentung di tandas awam.
"Bomba seterusnya mengeluarkan mangsa dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata hasil maklumat saksi dan dua rakan kepada mangsa, mereka bertiga dipercayai melepak dan bermain pemainan video di dalam tandas tersebut manakala mangsa sedang tidur di atas sofa di hadapan pintu tandas.
Norazam berkata rakan mangsa dipercayai telah menyalakan api di bawah sofa dengan niat untuk bergurau namun setelah asap tebal dan api semakin besar, dua rakan mangsa telah lari ke luar tandas.
"Mangsa yang tersedar daripada tidur berada dalam keadaan separa sedar kemudian melarikan diri ke dalam tandas," katanya.
-- BERNAMA
#remaja rentung #tandas awam #Puncak Alam #kebakaran tandas
;