Gara-gara GST, pelanggan bawa parang mengamuk dalam restoran nasi kandar
Bernama
Mei 21, 2015 07:46 MYT
Mei 21, 2015 07:46 MYT
Seorang lelaki bertindak memecahkan cermin almari menempatkan lauk-pauk dalam sebuah restoran nasi kandar di Jalan Padang Tembak, Air Itam di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian pada 1.30 petang itu, suspek pada mulanya menumbuk pekerja restoran berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan nasi kandar yang dibelinya.
"Suspek yang datang bersama rakannya turut membuang bungkusan makanan itu ke lantai sambil mengeluarkan kata-kata kesat dan kemudiannya beredar," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Mangsa yang merupakan pekerja lelaki rakyat Bangladesh itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius, katanya.
Beliau berkata kira-kira 10 minit kemudian suspek datang semula dan membawa sebilah parang dan mengamuk sebelum melarikan dengan motosikal jenis Honda EX5.
Katanya, suspek berusia 39 tahun yang beralamat di Lintang Kampung Melayu, Air Itam itu ditahan tidak berapa lama kemudian dan direman sehingga Jumaat.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati lelaki itu tidak berpuas hati makanan yang dibelinya dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.