Gara-gara enggan bermain 'bola api', remaja melecur

Adie Sufian Zulkefli
Januari 23, 2017 21:26 MYT
Haslinda Hashim menunjukkan kesan lecur pada anggota badan dan tangan anaknya yang terbakar ketika keluar bermain bersama rakan-rakannya di Taman Nuri Khamis lalu. - Foto Bernama
Hanya kerana dipercayai enggan bermain permainan ‘bola api’ bersama rakan, seorang kanak-kanak melecur di badan dan tangan akibat disambar api yang didakwa disepak rakannya di padang permainan di Taman Nuri, di sini.
Dalam kejadian jam 5.30 petang Khamis itu, mangsa Muhammad Ikwan Fahami Mohd Shahrzal, 13, dari Kampung Pengapit Batu, terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar susulan insiden itu.
Muhammad Ikhwan berkata sebelum itu, lima rakannya mengajak dia bermain 'bola api' menggunakan ‘buah pong pong’ atau ‘buah kering’ yang dibakar dengan petrol.
Dia mendakwa enggan bermain sebelum seorang rakan menyimbahnya dengan petrol dan kemudian mengacukan pemetik api menyebabkan api menyambar badan beliau.
Muhammad Ikhwan berkata, akibat tindakan itu, beliau menjerit dan berguling-berguling kerana terlalu panas manakala dua rakan lain cuba membantu dengan mengibas pakaian mereka sebelum tidak sedarkan diri.
Muhammad Ikhwan ditemui bersama ibunya, Haslinda Hashim, 38, di rumah mereka di Kampung Pengapit Batu, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar selepas dibenarkan keluar daripada hospital, hari ini.
Sementara itu, Haslinda berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan anaknya itu terbakar apabila sedang bermain bersama rakan-rakannya di taman permainan yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah mereka.
Menurut Haslinda, beliau cuba untuk berjumpa dan bertanya rakan anaknya yang didakwa menyimbah petrol tetapi keluarga terbabit enggan memberi kerjasama sehingga sekarang.
"Saya tidak berpuas hati dengan tindakan remaja tersebut dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, pukul 5 petang sehari selepas itu.
"Saya juga kesal kerana selepas kejadian itu, keluarga remaja terbabit tidak mengendahkan perbuatan anak mereka dan enggan menyelesaikan masalah itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Datuk Mohd Nashir Ya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, susulan insiden itu, bapa mangsa berusia 36 tahun telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sehari kemudian.
“Mangsa melecur kira-kira 10 peratus dan bapa mangsa membuat keputusan tidak memanjangkan kes tersebut dan mahu menyelesaikan secara baik," katanya.
#Alor Setar #Bola api #Hospital Sultanah Bahiyah #HSB #Muhammad Ikwan Fahami Mohd Shahrzal
;