Gara-gara curi ikan laga, tiga sekawan diberkas polis
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 7, 2020 17:11 MYT
Disember 7, 2020 17:11 MYT
KEPALA BATAS: Tindakan tiga sekawan dari Kepala Batas, Pulau Pinang yang nekad mencuri ikan laga membawa padah apabila mereka akhirnya diberkas polis.
Kesemua mereka yang berusia 19, 22 dan 36 tahun itu ditahan selepas mencuri beberapa ekor ikan laga yang dianggarkan bernilai RM500 dari sebuah rumah di Kampung Aman, Kepala Batas, Pulau Pinang Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pemilik ikan laga berusia 17 tahun menyedari ikan laga yang diletakkan di hadapan rumahnya hilang.
Noorzainy berkata, mangsa memaklumkan ibu saudaranya melihat tiga lelaki masuk ke dalam kawasan rumah mangsa kira-kira jam 6 pagi Rabu lalu.
Berikutan itu, mangsa memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati tiga lelaki bertopi keledar masuk ke kawasan hadapan rumah tempat dia menyimpan ikan laga.
Noorzainy berkata, suspek dilihat mengambil beberapa ekor ikan menggunakan sauk namun melarikan diri selepas terdengar teguran ibu saudara mangsa.
Siasatan juga mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam kes mencuri sebatang pokok bonsai dan menjualnya di Facebook minggu lalu.
Noorzainy berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.