Gara-gara berselisih faham, suami nekad bakar rumah

Nazialita Geynna Maharan
Oktober 26, 2016 22:11 MYT
Siasatan awal mendapati tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu. - Gambar Astro AWANI
Balai Bomba dan Penyelamat Perak mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau individu yang cedera dalam satu insiden di mana seorang lelaki nekad membakar rumah yang disewanya gara-gara berselisih faham dengan isterinya.
Insiden sekitar 5 petang itu itu turut menyebabkan lima rumah jiran hangus terbakar di Jalan Bendahara di Ipoh itu sehingga menimbulkan suasana cemas penduduk di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Zon Satu Balai Bomba dan Penyelamat Perak, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairul Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 5.36 petang Rabu.
Setibanya jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, enam buah rumah separuh konkrit dan papan sedang dijilat api yang marak.
Katanya, anggota bertugas kemudian menggunakan lapan buah jentera untuk mengawal kebakaran tersebut.
"Kebakaran berjaya dikawal dalam masa tempoh 12 minit dengan kekuatan 27 anggota Balai Bomba Ipoh serta BPP Pasir Putih.
"Selain itu, kita dibantu 18 anggota Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Mohd Khairul berkata, siasatan awal mendapati tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu. Operasi tamat sepenuhnya sekitar jam 5.57 petang Rabu.
Menurut beliau, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Dalam pada itu, pemilik rumah sewa yang hanya ingin dikenali sebagai Miss Lim, 36, penyewanya yang merupakan pasangan dengan tiga anak telah menyewa rumah itu sejak tujuh tahun lalu.
Beliau berkata kejadian tersebut menyebabkan rumah sewanya dan lima lagi deretan rumah musnah.
Kata beliau, isteri lelaki tersebut telah menghubunginya sekitar jam 5 petang untuk memaklumkan suaminya ingin membakar rumah selepas insiden pergaduhan antara pasangan tersebut.
"Isteri penyewa menelefon saya memberitahu sejak dua tiga hari ini mereka sering bergaduh dan meminta saya datang ke rumah kerana suaminya sedang membakar rumah.
"Saya memintanya menelefon polis sementara saya bergegas ke rumah itu dan sebaik tiba rumah saya bersama lima lagi rumah sudah terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, sumber berkata, isteri serta tiga anak mereka kini berada di Balai Polis Pasir Puteh untuk membuat laporan dan polis sedang mengesan lelaki berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
#kebakaran #Sum Chang Keong
;