Gara-gara baldi anak terselamat, ibu dikhuatiri disambar buaya ketika mandi

Shafik Ahmad
April 2, 2021 16:25 MYT
Terry Robson berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 12.30 tengah hari. - Foto Astro AWANI
MIRI: Seorang wanita hilang dikhuatiri disambar buaya di Sungai Peking, Bakong berhampiran rumah Mathis Depa, Miri pada Jumaat.
Mangsa dikenali sebagai Runyan Tempan, 38, dipercayai disambar reptilia itu ketika mandi di sungai tersebut bersama anaknya sekitar pukul 11.30 pagi.
Berdasarkan maklumat awal penduduk yang berada di lokasi kejadian memberitahu mangsa dipercayai diserang buaya ketika anaknya naik ke darat untuk mengambil baldi.
Bagaimanapun, mangsa dilaporkan hilang selepas serangan itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng, Terry Robson berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 12.30 tengah hari.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dikejarkan ke lokasi kejadian kira-kira 141 kilometer dari bandar raya Miri.
“Perjalanan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk sampai ke destinasi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dilakukan oleh penduduk kampung.
#baldi #disambar buaya #wanita hilang #Runyan Tempan #Rumah Mathis Depa #sungai Miri #Terry Robson #operasi mencari dan menyelamat
;