Gara-gara aksi willie, remaja lelaki ditahan polis
Abd Razak Mohd Ali
September 19, 2022 14:21 MYT
September 19, 2022 14:21 MYT
KERIAN: Gara-gara membuat aksi mengangkat tayar hadapan motosikal (willie), seorang remaja lelaki ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Ban Pecah, Tanjung Piandang, dekat sini, pada petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, tindakan remaja berusia 17 tahun
itu boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Menurutnya, anggota polis telah mengekori dari jarak yang dekat serta dapat mengecam suspek yang menunggang motosikal jenis Honda EX5.
“Suspek memakai baju lengan pendek berwarna hitam, memakai seluar jeans panjang berwarna biru dan memakai topi keledar berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan hari ini.
Suspek, kata beliau, ditahan sekitar pukul 7 malam.
Kes tersebut, kata Mazuki, disiasat,di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.