Gara-gara aksi tarian, masjid Kota Kinabalu keluar larangan terima pelancong
Madiha Abdullah
Jun 24, 2018 18:55 MYT
Jun 24, 2018 18:55 MYT
Larangan melawat Masjid Bandaraya di sini dikeluarkan susulan tersebarnya sebuah video aksi tarian dua wanita di hadapan masjid berkenaan.
Pengerusi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBR), Datuk Jamal Tun Sakaran membuat pengumuman itu menerusi kenyataan yang dihantar kepada agensi pelancongan di negeri itu.
Larangan yang berkuat kuasa bermula hari ini itu turut menyebut hanya pemandu teksi berdaftar dengan masjid yang boleh memasuki pekarangan masjid tersebut, lapor portal Channel News Asia.
Dalam video 10 saat yang tersebar di laman sosial itu, dua wanita dilihat menari di atas pagar di hadapan masjid, sementara seorang lagi mengambil gambar.
"Pihak pengurusan kesal dengan tindakan pelancong itu yang tidak mempedulikan peraturan walaupun sudah diberi penerangan.
"Pihak masjid akan mengambil lebih banyak sukarelawan awam dan anggota RELA untuk menjaga bangunan masjid dan kawasan sekitarnya," kata Jamal.
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sedang dalam usaha mengesan dua pelancong terbabit.