Gapenas buat laporan polis kenyataan Anwar yang didakwa menghasut

Umavathi Ramayah
Januari 27, 2021 15:07 MYT
Nasiruddin Mohamed berkata, tindakan Anwar mencabar atau mempersoalkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertua Agong dilihat jelas boleh mendatangkan perasaan tidak setia kepada Agong. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Gerakan Penegak Suara Selangor (Gapenas) membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Kinrara, di sini berikutan kenyataan menghasut yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook miliknya, baru-baru ini.
Pengerusinya, Nasiruddin Mohamed berkata, tindakan Anwar mencabar atau mempersoalkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertua Agong dilihat jelas boleh mendatangkan perasaan tidak setia kepada baginda.
Menurutnya, walaupun kenyataan itu telah dipadamkan dari laman sosial itu namun ia telah tersebar secara meluas termasuk dilaporkan dalam portal tempatan.
"Kesalahan dan keegoan yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim ini adalah sangat serius merendahkan moral selaku pemimpin dan menyandang jawatan penting termasuk Ketua Pembangkang di Parlimen dengan ramai pengikut boleh membuatkan mereka taksub dan terhasut.
"Malah ia juga boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman negara," katanya dalam kenyataan selepas membuat laporan polis di sini, pada Rabu.
Ekoran itu, Nasiruddin menggesa polis untuk menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menghasut dan diheret ke muka pengadilan.
Menurutnya, dalam kenyataan bertajuk Anwar gesa MP (Ahli Parlimen) utus warkah pada Agong batalkan darurat itu dilaporkan dalam portal Malaysiakini sebelum hantaran itu dipadamkan.
Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullagh Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan proklamasi darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.
BACA: Anwar dakwa majoriti ahli Parlimen tolak darurat
BACA: Proklamasi Darurat mampu pulih ekonomi adalah kenyataan bercanggah, mengelirukan - Anwar
BACA: Anwar akan cabar proklamasi darurat di mahkamah
#laporan polis #Anwar Ibrahim #balai polis bandar kinrara #GAPENAS #ahli Parlimen #menghasut #Yang di-Pertuan Agong #mencabar Agong #politik #perintah darurat #PKP #Parlimen #COVID-19 #PKR #Ketua Pembangkang #Dewan Rakyat
;