Gantung sementara Parlimen bantu redakan percaturan, permainan politik congak
Datuk M Periasamy
Oktober 20, 2020 08:00 MYT
Oktober 20, 2020 08:00 MYT
KETIKA Malaysia sedang menghadapi ancaman pandemik COVID-19, pada masa sama negara juga menghadapi kecelaruan politik disebabkan tindakan lompat parti.
Pentas politik negara pada akhir-akhir ini dihiasi dengan pelbagai adegan politik yang bukan sahaja menggugat kekuatan kerajaan semasa, malah menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan rakyat.
Kebelakangan ini, politik nasional menyaksikan satu paradigma baharu dalam pentas politik negara.
Perkembangan politik terbaharu menyaksikan sebahagian besar orang Melayu yang pada satu ketika menyokong kuat UMNO kini berubah hati.
Malah kekuatan politik parti Melayu itu 'terkulai' apabila sebahagian orang kuatnya menyertai parti-parti serpihan seperti Bersatu dan Pejuang.
Sebahagian besar orang Cina yang bersama MCA pada satu ketika dahulu kini sudah jauh meninggalkan parti itu dan sebahagian besarnya menyokong DAP, parti yang ditubuhkan berlandaskan falsafah politik sekularisme dan sosialisme.
Manakala, sebahagian besar orang India yang meninggalkan MIC kerana terpengaruh dengan dakwaan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didominasikan UMNO membelakangkan kepentingan dan kebajikan mereka, kini kembali menyokong MIC kepimpinan Tan Sri SA Vigneswaran.
Sementara itu, timbul pula polemik kononnya Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang majoriti di Parlimen dan dengan itu wajar melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Malah ada pihak yang mendesak Parlimen dibubarkan supaya kerajaan baharu boleh dipilih oleh rakyat.
Tidak kurang juga yang menyeru agar Parlimen digantung sementara waktu supaya kerajaan dapat memfokuskan perhatian sepenuhnya kepada usaha menangani pandemik COVID-19, sekali gus memulihkan kedudukan ekonomi negara.
Langkah ini difikirkan perlu berikutan kadar kes jangkitan COVID-19 dalam negara yang semakin meningkat ke paras bahaya.
Gantung Parlimen
Pada masa yang sama, langkah menggantung Parlimen untuk sementara waktu boleh membantu menstabilkan suasana politik negara yang masih runsing dan bergelora disebabkan adanya pihak-pihak tertentu yang menekan Parlimen untuk memasukkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dalam Aturan Mesyuarat Parlimen yang akan datang.
Seruan untuk menggantung Parlimen bukanlah suatu perkara baharu kerana sejarah menunjukkan bahawa Parlimen pernah digantung apabila negara menghadapi masalah ketidakkestabilan politik angkara permainan politik.
Pada tahun 1969, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah mencadangkan kepada Yang Di Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen setelah tercetusnya huru-hara dan rusuhan antara kaum, sejurus keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) diumumkan.
Langkah Tunku ini boleh dijadikan sebagai pedoman bagi kerajaan PN dalam menangani kekusutan politik semasa yang berteraskan kepada politik angka atau politics of numbers.
Rakyat berpendapat kerajaan PN perlu mengambil langkah bijak untuk menangani pandemik COVID-19 yang terus menular di seluruh negara.
Pandemik COVID-19 ini bukanlah satu wabak penyakit biasa yang boleh dikawal dengan prosedur biasa atau normal; ia memerlukan satu langkah yang luar biasa.
Sehubungan itu, seruan untuk menggantung Parlimen bagi sementara waktu merupakan langkah baharu (new normal) yang bersandarkan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 55(2).
Perkara tersebut menobatkan kuasa kepada Baginda YDPA untuk memanggil, menangguhkan dan membubarkan Parlimen.
Meskipun polemik undi tidak percaya terhadap Muhyiddin masih hangat dibincangkan dalam media terutamanya media sosial, namun undi tidak percaya bukanlah satu penyelesaian muktamad kepada kekusutan politik yang melanda negara.
Rakyat biasa bukan sahaja tidak menghiraukan hal undi tidak percaya malah sedar mengadakan pilihan raya tergempar (snap election) tidak akan menguntungkan atau membantu dalam meringankan masalah harian yang terpaksa dipikul akibat penularan COVID-19.
Malah, jelas menunjukkan rakyat lebih memihak kepada pentadbiran Muhyiddin yang bukan sahaja mengambil langkah-langkah konkrit dan berani untuk menyekat dan mengawal penularan COVID-19, malah meluluskan bantuan PRIHATIN yang membantu meringankan masalah harian mereka yang terkesan kerana COVID-19.
Sokongan Rakyat
Kemenangan BN/PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini jelas menunjukkan sokongan rakyat amat kuat, merentasi sempadan, agama dan kaum, terhadap kepimpinan beliau.
Justeru itu, rakyat didapati menyokong seruan untuk menggantung (prorogue) Parlimen untuk sementara waktu sehingga keadaan negara pulih semula supaya keamanan dan kesejahteraan rakyat terjamin.
Langkah menggantung Parlimen sementara waktu akan membantu menamatkan percaturan malah permainan politik congak bersandarkan politik ‘bernombor’ disebabkan politik lompat Ahli Parlimen.
Meskipun langkah usul undi tidak percaya atau mengadakan snap election dalam memilih kerajaan baharu merupakan instrumen penting dalam memantapkan institusi Parlimen dalam satu-satu sistem politik demokrasi, kepentingan kesihatan, kebajikan rakyat dan stabiliti politik negara adalah sama penting malah perlu diutamakan.
Ia mendahului segala keperluan lain dalam memantapkan institusi Parlimen malah akan menamatkan peristiwa lompat kerusi yang memperolok-olokkan demokrasi.
Apapun, rakyat yakin Muhyiddin mampu menghadapi dan menangani desakan dan tekanan pelbagai pihak terhadap kepimpinan beliau.
* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Muhyiddin Yassin
#UMNO
#Barisan Nasional
#DAP
#MIC
#MCA
#PRU
#COVID-19
#politik lompat
#undi tidak percaya
#kemuka usul
#pilihan raya
#pandemik
#politik congak
#gantung parlimen