Gantung permit akhbar langgar prinsip kebebasan media, luah media sosial
Madiha Abdullah
Julai 24, 2015 16:44 MYT
Julai 24, 2015 16:44 MYT
Keputusan Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily untuk tempoh tiga bulan dianggap sebaga satu tindakan yang tidak masuk akal dan melanggar prinsip kebebasan media.
Itulah antara luahan hati yang disuarakan oleh pengguna media sosial susulan pengumuman penggantungan tersebut.
Permit penerbitan dua akhbar berkenaan dikenakan tindakan sedemikian berikutan laporannya berhubung skandal yang melibatkan syarikat pelaburan strategik negara, 1MDB.
Antara yang terawal meluahkan rasa kurang senang ialah beberapa figura politik seperti Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Serdang), Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Saifuddin Abdullah (bekas Ahli Parlimen Temerloh) dan Fahmi Fadzil (Pengarah Komunikasi PKR).
Kesemua mereka berkongsi pandangan yang sama dan membantah keputusan berkenaan.
Masyarakat tidak ketinggalan memberikan pendapat yang rata-ratanya memberikan pandangan berbaur sinis.
Sebahagian daripada mereka turut menganggap penggantungan permit penerbitan akhbar berkenaan sebagai melanggar prinsip kebebasan media dan tidak beretika.
Laporan kedua-dua penerbitan tersebut dianggap‘memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin mengejutkan pendapat umum atau mungkin memudaratkan kepentingan awam dan negara.’