Gantung Parlimen: 2 wakil rakyat dibenar mulakan semakan kehakiman

Bernama
Julai 24, 2024 10:32 MYT
Mahkamah Persekutuan membenarkan dua wakil rakyat memulakan semakan kehakiman bagi mencabar nasihat Muhyiddin untuk menggantung Parlimen sepanjang tempoh darurat pandemik COVID-19. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan dua wakil rakyat memulakan semakan kehakiman bagi mencabar nasihat bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen sepanjang tempoh darurat pandemik COVID-19.
Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas berpendapat permohonan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari memenuhi syarat bagi memulakan semakan kehakiman.
"Pada peringkat ini, kami tidak akan menjawab persoalan undang-undang yang dibangkitkan dan pihak berkaitan boleh membawanya ke Mahkamah Tinggi.
"Perintah Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini diketepikan. Kami mengembalikan kes ini ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran permohonan-permohonan substantif," katanya.
Tengku Maimun menetapkan 31 Julai ini sebagai tarikh sebutan bagi kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.
Pada 11 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Abdul Aziz, Ketua Pembangkang ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub dan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani Tan Sri Johari Abdul Ghani manakala permohonan Hassan ditolak oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 26 April 2021.
Bagaimanapun, Anwar yang kini Perdana Menteri telah menarik balik rayuannya pada November tahun lepas manakala Johari, yang kini Speaker Dewan Rakyat, menarik balik rayuannya pada Januari lepas manakala Salahuddin meninggal dunia pada Julai 2023.
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin yang mewakili Muhyiddin serta Kerajaan Malaysia membantah permohonan itu kerana ia sudah diatasi oleh peristiwa dan wakil rakyat yang sebelum ini pembangkang di Parlimen kini adalah penggubal undang-undang bagi kerajaan semasa.
Beliau berkata Hassan dan Abdul Aziz kini adalah wakil rakyat bagi kerajaan semasa dan mereka mempunyai ruang untuk memperkenal perubahan kepada undang-undang itu.
Liew juga berhujah bahawa jika mahkamah tidak membenarkan bantahannya, beliau memohon agar semakan kehakiman Hassan dan Abdul Aziz didengar bersama dengan dua lagi kes yang belum selesai di Mahkamah Tinggi membabitkan Majlis Peguam Malaysia dan Bersih 2.0 yang turut mencabar proklamasi darurat.
Peguam Datuk Gurdial Singh Nijar tidak membantah keputusan panel itu mengembalikan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi bagi meneruskan semakan kehakiman.
Pada 2 Mei 2022, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti membenarkan kedua-dua wakil rakyat untuk merayu.
Mereka telah membangkitkan dua persoalan undang-undang berkaitan kesahihan keputusan yang dibuat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan berhubung proklamasi darurat sebagaimana diumumkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang tidak boleh diadili di mahkamah.
Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka pada 24 Nov 2021.
Mereka memohon deklarasi mahkamah bahawa keputusan Kabinet yang dipimpin Muhyiddin untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyebabkan penggantungan Parlimen adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kesan.
-- BERNAMA
#keputusan mahkamah #gantung parlimen #COVID-19 #Muhyiddin Yassin