Gantung kain rentang provokasi politik, suspek dicari

Siti Nur Aqilla Omar
Oktober 11, 2022 11:10 MYT
Antara kain rentang yang dikesan memaparkan kenyataan berbaur provokasi politik di sekitar daerah Kota Tinggi pada Isnin semalam. -Astro AWANI
KOTA TINGGI: Beberapa kain rentang yang memaparkan ayat tidak puas hati penduduk mengenai isu politik dan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di sekitar daerah Kota Tinggi, di sini, semalam.
Ketua Polis daerah Kota Tinggi, Superitenden Hussin Zamora berkata, kain rentang itu dikesan digantung di enam tempat awam.
Katanya kain rentang itu telah diturunkan oleh Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).
"Semalam pihak polis Ibu Pejabat Daerah Kota Tinggi telah berjaya mengesan enam tempat awam yang digantung kain rentang ditulis ketidakpuasan hati penduduk mengenai isu politik dan calon PRU15.
"Pihak polis juga sedang mengesan beberapa individu yang menggantung kain rentang terbabit.
"Pihak polis ingin menasihati kepada mana-mana individu atau kumpulan ini supaya tidak mencetuskan provokasi yang akan menggangugugat keamanan daerah Kota Tinggi.
"Mana-mana pihak yang ingin menggantung sebarang kain rentang atau sebagainya perlulah mengemukakan permohonan terlebih dahulu kepada Majlis Daerah Kota Tinggi," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Tegas Hussin, pihaknya memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan ini.
Pihak polis juga boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan ke atas mana-mana individu yang didapati terlibat.
#kain rentang #parlimen bubar #provokasi politik #Kota Tinggi
;