Gantung baju raya untuk penduduk kampung
Wana Abd Rahman
April 26, 2022 10:20 MYT
April 26, 2022 10:20 MYT
BACHOK: Sebuah resort di Pantai Kandis, di sini mempunyai kelainan dalam menyampaikan sumbangan dan melaksanakan khidmat masyarakatnya kepada golongan yang memerlukan sempena Hari Raya Aidilfitri
Melalui Program yang dinamakan sebagai "Pre Loved Raya" itu membolehkan pihak kakitangan resort, penyumbang dari luar daerah dan penginap resort menyumbangkan pakaian terpakai dan baharu kepada golongan sasar khususnya asnaf, keluarga nelayan dan sebagainya.
Menurut Pengurus Sudara Beach Resort, Maimun Mohd Hussain, baju baharu dan terpakai disumbangkan dengan cara meletak serta dipamerkan di lobi resort untuk dipilih dan dicuba oleh golongan asnaf secara sukarela.
"Program Pre Loved membolehkan golongan asnaf datang ke resort memilih dan mengambil baju raya yang mereka suka dan sesuai untuk dipakai pada Hari Raya.
"Golongan asnaf khasnya dari keluarga nelayan, golongan miskin, golongan kurang upaya dan penghuni rumah anak yatim berhampiran resort dan kampung sekitar datang untuk mencuba dan memilih pakaian yang mereka inginkan tanpa rasa malu dan membawa pulang pakaian yang mereka inginkan," katanya kepada Astro AWANI.
Menurut Maimun, program Pre Loved sebenarnya program tahunan resort namun terhenti selama dua tahun kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Program ini dijalankan selama dua hari bermula 24 hingga 25 April lepas dengan jumlah hampir 40 pasang baju baharu serta hampir 100 pasang pakaian terpakai yang masih elok digantung untuk dipilih oleh golongan terbabit," jelasnya.
Tambahnya, pakaian yang disumbangkan bukan sahaja untuk golongan dewasa sebaliknya terdapat juga pakaian untuk kanak-kanak.
"Sebenarnya program Pre Loved lebih kepada berkongsi kegembiraan untuk menyambut Aidilfitri dengan meraikan golongan miskin yang memerlukan persalinan baharu," jelasnya.
Selain pakaian, mainan kanak-kanak turut disumbangkan oleh orang ramai untuk anak-anak nelayan sekitar Kampung Kandis.
Program berkenaan mendapat sambutan daripada golongan sasar yang menantikan tarikh 24 hingga 25 hari bulan setiap kali Ramadan.