Gantung baju putih, NGO tiba hulur bantuan makanan
Muhafandi Muhamad
Julai 1, 2021 09:01 MYT
Julai 1, 2021 09:01 MYT
KOTA BHARU: Baju putih yang digantungkan di luar rumah sebuah keluarga mendorong kehadiran wakil badan bukan kerajaan (NGO) menyampaikan sumbangan barangan keperluan.
Namun menurut Nora Maslina Nazir, 45 tahun, dari Kampung Pasar Lama, Pasir Tumbuh, di sini, dia tidak mengetahui tentang kempen mengibarkan bendera putih bagi mendapatkan bantuan, sebaliknya tindakan menggantung baju putih menggantikan bendera putih disarankan oleh NGO.
Nora tinggal bersama suaminya Suhaimi Idris, 51 tahun serta 11 lagi ahli keluarga yang lain.
Ketika ditemui Astro AWANI, Nora Maslina berkata, keluarganya kekuragan bekalan makanan beberapa hari lalu selepas suaminya tidak lagi dipanggil bekerja sebagai buruh binaan sejak sebelum bulan Ramadan.
"Dalam dua bulan lebih sebelum puasa lagi suami saya tidak dipanggil untuk bekerja.
"Saya ada terima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 tetapi ia tidak mencukupi," katanya.
Nora Maslina mempunyai sembilan anak berusia dari 2 hingga 16 tahun manakala dia turut menjaga dua anak yatim piatu berusia 16 dan 21 tahun.
Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) kali ini memberi kesan kepada keluarganya kerana suami tiada pendapatan.
Jiran tetangga turut memberikan bantuan selain dari wakil rakyat yang menghulurkan barangan asas seperti beras, gula, minyak dan tepung gandum.
Nora Maslina mula menggantung baju putih sekitar jam 3 petang semalam dan menerima kehadiran NGO sejam kemudian.
Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 menerusi Pakej PEMULIH kepada semua Ahli Parlimen untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan.
Jelas beliau, ia bagi memberi lebih banyak bantuan dihulurkan kepada golongan terjejas menerusi wakil rakyat di kawasan masing-masing.
Turut diumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi tujuan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.
Pengumuman Khas Pakej PEMULIH oleh Perdana Menteri | 28 Jun 2021