Ganjaran RM60,000 untuk maklumat kes kematian William
Bernama
Januari 28, 2013 20:21 MYT
Januari 28, 2013 20:21 MYT
Ganjaran RM60,000 menanti sesiapa yang mempunyai maklumat sehingga membawa kepada penangkapan dan sabitan mereka yang bertanggungjawab atas kematian William Yau Zhen Zhong.
"Maklumat itu mestilah sah dan mencukupi untuk mendakwa seseorang di mahkamah," kata Ketua Biro Khidmat Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong pada sidang media sini Isnin.
Polis Isnin mengesahkan laporan awal ujian 'deoxyribonucleic acid' (DNA) Jabatan Kimia ke atas seorang mayat kanak-kanak lelaki yang ditemui di Pelabuhan Klang, pada 24 Jan lalu, adalah William.
William, 6, dilaporkan hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya selepas dipercayai keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.
Katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi beliau di talian 013-3982381 atau 03-22033888.