Ganja RM2.23 juta terapung di laut
Sinar Harian
Mac 22, 2022 21:37 MYT
Mac 22, 2022 21:37 MYT
KUALA PERLIS: Belum sempat diambil penyeludup, ketulan ganja mampat seberat 446 kilogram bernilai kira-kira RM2.23 juta ditemui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis ketika rondaan rutin Op Aman pada Isnin.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Saliza Ahmad berkata, siasatan awal mendapati ketulan ganja berkenaan ditinggalkan oleh sindiket dari negara jiran untuk diambil oleh rakan sindiket di negara ini di dua lokasi berasingan.
Menurut beliau, rampasan pertama pada jam 10.33 pagi pada kedudukan 4.4 batu nautika barat muara Kuala Perlis manakala yang kedua pada jam 11.15 pagi di kedudukan 2.2 batu nautika barat daya muara Kuala Perlis.
"Anggota menemui beberapa bungkusan plastik hitam terapung di sekitar perairan negeri Perlis dan merupakan rampasan terbesar bagi negeri Kedah dan Perlis setakat awal tahun ini," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis di sini pada Selasa.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 18 guni plastik berwarna putih yang berisi ketulan ganja mampat dengan berat anggaran sekilogram setiap satu ketulan.
"Kita berjaya mengesan taktik mereka sebelum diambil oleh rakan sindiket terbabit," katanya.
Saliza memberitahu, sindiket terbabit juga dipercayai membawa masuk dadah dari negara jiran ke perairan negara dan akan membawa pulang daun ketum ke perairan Thailand.
"Kita yakin ketulan ganja ini akan diedarkan untuk pasaran utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
"Kesemua dadah itu boleh digunakan oleh 44,600 penagih dengan nisbah seketul ganja seberat satu kilogram untuk kegunaan 100 penagih," katanya.
Kesemua hasil rampasan dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis untuk disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.