Gani Pelangi akhirnya miliki sijil kelahiran pada usia 44 tahun

Bernama
Ogos 18, 2024 13:00 MYT
Gani Pelangi (dua, kanan) bersama rakan sekampung menunggu giliran untuk mengambil sijil kelahiran. - Gambar/ Bernama
JERANTUT: Penantian masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Keniam, Ulu Tembeling di sini untuk memiliki sijil kelahiran akhirnya tercapai selepas dokumen tersebut diserahkan melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Komuniti, anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang.
Gani Pelangi, Orang Asli suku kaum Bateq berkata dia kini boleh menarik nafas lega selepas 'menyentuh' sijil kelahirannya buat pertama kali pada usia 44 tahun, dan menganggap dokumen itu melengkapkan dirinya sebagai rakyat Malaysia.
Bapa kepada enam anak yang memperoleh pendapatan dari penjualan madu itu berkata selepas memiliki sijil kelahiran dia sekeluarga bakal menikmati kehidupan yang lebih baik terutama dalam aspek bantuan, pendidikan dan kesihatan.
"Pada usia 44 tahun, saya akhirnya dapat memiliki sijil kelahiran sama seperti orang lain, dengan adanya dokumen ini saya dapat buat kad pengenalan dan selepas ini ia akan memudahkan urusan pendaftaran anak-anak pula.
"Dokumen ini penting untuk masa depan anak-anak, terutama apabila mereka bersekolah nanti. Sekurang-kurangnya mereka akan memiliki sijil ini dan kad pengenalan sejak muda, berbeza dengan saya yang baru menerimanya sekarang," katanya kepada Bernama selepas Program MEKAR Komuniti di kampung tersebut baru-baru ini.
Program turun padang yang disertai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Pendaftaran Negara Sarinah Apisah dan Pengarah JPN Pahang Mohammad Abdullah, dimulakan dengan perjalanan darat sehingga ke jeti Kampung Pagi, di sini.
Perjalanan kemudiannya diteruskan dengan kakitangan JPN menaiki bot selama lebih sejam sebelum sesi penyerahan dilaksanakan, diikuti dengan pendaftaran kad pengenalan atau MyKad secara manual kepada penerima sijil kelahiran di kampung itu.
Ketika program itu berlangsung, seorang bayi Orang Asli dikenali Shila Majid telah mencuri perhatian semasa menerima sijil kelahirannya apabila mempunyai nama persis ratu jazz negara Datuk Sheila Majid.
Bayi berusia setahun empat bulan itu ditemani ibu bapanya Majid Long, 29, dan Ilin Suhari, 27, yang mengakui tinggal di kawasan pendalaman menyebabkan mereka lewat mendaftar kelahiran anak. Mereka berpendapat program seumpama ini, memudahkan mereka mendapatkan dokumen berkenaan.
"Susah mahu keluar ke bandar dan melibatkan wang jika kami mahu berbuat demikian, jadi apabila program ini diadakan, saya terus mendaftar anak kerana tahu dokumen ini akan membantu mereka dalam pelbagai perkara pada masa depan," kata Majid yang bekerja mencari hasil hutan sebagai sumber pendapatan.
Sementara itu, JPN Pahang dalam kenyataan memaklumkan Program MEKAR Komuniti ini diadakan khusus bagi menyantuni Orang Asli untuk memberi perkhidmatan selaras dengan slogan 'Rakyat Di Hati JPN'.
Seramai 75 penduduk kampung telah menerima sijil kelahiran manakala 20 orang diserahkan MyKad.
Menurut jabatan itu, sebanyak enam program MEKAR Komuniti telah diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, melibatkan 288 permohonan dokumen pengenalan diri serta 330 khidmat nasihat, setakat 23 Julai lepas.
Pahang merekodkan jumlah Orang Asli terbesar di Semenanjung Malaysia iaitu seramai 95,382 orang yang terbahagi kepada tiga suku kaum utama iaitu Senoi, Melayu Proto serta Negrito.
-- BERNAMA
#Orang Asli #kad pengenalan #tunggu lama #JPN
;