Gangguan sistem: Hospital Sultan Abdul Halim aktifkan BCP

Bernama
Ogos 13, 2024 06:45 MYT
JKN Kedah mengambil maklum isu tular berkaitan gangguan capaian Sistem Maklumat Hospital Menyeluruh (tHIS) di HSAH. - Gambar fail/Astro AWANI
ALOR SETAR: Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani telah mengaktifkan pelan kesinambungan perkhidmatan (BCP) secara berperingkat sebagai langkah sementara mengurangkan impak kegagalan sistem pengendalian pesakit.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah Dr Ismuni Bohari berkata pihaknya mengambil maklum isu tular berkaitan gangguan capaian Sistem Maklumat Hospital Menyeluruh (tHIS) di hospital berkenaan.
"Memang berlaku gangguan capaian sistem tHIS bermula pukul 7 pagi, Ahad lepas susulan kegagalan capaian kepada sistem rekod pesakit. Semakan awal mendapati servis pada satu daripada server aplikasi gagal berfungsi.
"Gangguan capaian semakin kritikal apabila waktu operasi Klinik Pakar bermula kerana trafik capaian yang amat tinggi daripada pengguna sistem yang mula melaksanakan pendaftaran pesakit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata pemantauan prestasi capaian sistem dan tindakan pemulihan diteruskan secara rapat dan segera bagi memastikan isu itu dapat diatasi secara menyeluruh.
"Bagi perancangan jangka panjang, Kementerian Kesihatan (KKM) dan JKN Kedah dalam perancangan untuk menaik taraf sistem sedia ada daripada server ke sistem berasaskan awan (cloud based system) untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berulang lagi.
"JKN akan terus memantau perkembangan terkini dan memastikan tindakan pembaikan dan pemulihan tHIS berjalan lancar agar pengoperasian perkhidmatan perawatan pesakit tidak terjejas," katanya.
-- BERNAMA
#Hospital Sultan Abdul Halim #pelan kesinambungan perkhidmatan #kegagalan sistem pengendalian pesakit #Sungai Petani #HSAH #KKM