Gangguan sistem di KLIA tiada unsur salah laku atau rasuah - SPRM
Bernama
Ogos 26, 2019 22:33 MYT
Ogos 26, 2019 22:33 MYT
Gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak mempunyai kaitan dengan sebarang salah laku atau unsur rasuah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.
Beliau berkata setakat ini SPRM tidak menerima apa-apa aduan atau laporan berkaitan perkara itu yang boleh mengaitkannya dengan gangguan sistem teknikal di lapangan terbang tersebut.
"Setakat ini memang tiada...bagaimanapun SPRM bersedia menjalankan siasatan sekiranya terdapat aduan yang mengaitkan gangguan teknikal itu dengan salah laku atau unsur rasuah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Dialog Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Industri Perhotelan Terengganu Bersama Ketua Pengarah SPRM di sini hari ini.
Gangguan teknikal pada Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) selama empat hari sejak Rabu lepas telah menyebabkan kelewatan penerbangan dan situasi itu sangat mengecewakan penumpang.
Bangguan itu juga melibatkan fungsi utama seperti penyambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk, dan sistem pengendalian bagasi.
Bagaimanapun, situasi di KLIA pulih dengan penumpang dapat mengetahui status penerbangan pada FIDS, yang telah diperbaiki dan proses daftar masuk telah kembali normal.
-- BERNAMA
#FIDS
#gangguan sistem KLIA
#KLIA
#Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
#Latheefa Koya
#Sistem Paparan Maklumat Penerbangan
#SPRM
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia