Gangguan siaran MYTV dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi

Diyana Ibrahim
November 22, 2018 03:31 MYT
Gobind berkata proses rundingan antara MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) dan Telekom Malaysia (TM) bagi menyelesaikan isu itu menunjukkan hasil memberangsangkan. - Gambar fail
Masalah penggantungan siaran TV digital MYTV yang berlaku di beberapa negeri sejak awal November dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu dua kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
Beliau berkata ketika ini gangguan perkhidmatan tersebut disebabkan beberapa isu komersil yang masih dalam rundingan di antara pihak MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) dan Telekom Malaysia Berhad TM.
"Saya harap isu ini dapat diselesaikan dalam seminggu dua ini. Saya setuju apa yang diperlukan ialah penetapan masa.
"Saya harap akan ada penyelesaian dalam minggu depan dan saya selaku menteri akan turut berjumpa dengan kedua pihak supaya dapat kita dapat selesai isu ini dan dapat maju ke depan," katanya dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini
Beliau berkata demikian menjawab daripada soalan ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari.
Ahmad Fadhli sebelum ini meminta menteri itu menyatakan langkah segera kementerian menyelesaikan masalah penggantungan TV digital MYTV.
Tambah menteri itu telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia SKMM untuk jadi pemudah cari rundingan di antara MYTV dan TM dalam usaha mengatasi masalah tersebut.
Katanya buat masa ini rakyat masih boleh menonton rancangan televisyen percuma di platform analog.
MYTV dilantik kerajaan untuk membangun dan mengendaikan infrastruktur serta rangkaian perkhidmatan Televisyen Terestial Digital DTT di Malaysia bagi membolehkan sistem penyiaran negara beralih daripada analog ke digital.
#Dewan Rakyat #Gobind Singh Deo #MCMC #MYTV #MYTV Broadcasting Sdn Bhd #Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia #Telekom Malaysia