Gangguan seksual di SJR: Siasatan hampir lengkap, wanita dan anggota polis telah diambil keterangan

Fareez Azman
Februari 17, 2021 19:12 MYT
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan sebelum menghantarnya ke Pejabat Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil keterangan semua pihak termasuk anggota yang dikaitkan dengan gangguan seksual terhadap seorang wanita di sekatan jalan raya minggu lalu.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan sebelum menghantarnya ke Pejabat Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya.
"Kita telah merakam percakapan petugas-petugas SJR, manakala video yang dirakam oleh wanita terbabit akan dijadikan sebagai bukti.
"Kita akan menyiasat seadil-adilnya, kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara selepas selesai siasatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Rabu.
BACA: Polis sedang siasat kes wanita dakwa anggota polis minta tunjuk payudara untuk elak disaman
Mengulas lanjut jelas Saiful Azly, anggota polis yang dikaitkan dengan kejadian gangguan seksual itu telah ditarik keluar daripada penugasan di sekatan jalan raya di Jalan Duta.
Terdahulu, seorang wanita mendakwa menghadapi gangguan seksual oleh seorang anggota polis dalam sekatan jalan raya berkenaan ketika dalam perjalanan pulang dari ibu negara ke Shah Alam.
#Kuala Lumpur #Pejabat Peguam Negara #PDRM #polis #wanita #gangguan seksual #Peguam Negara #siasatan #kertas siasatan #video #shah alam
;