Gangguan perkhidmatan: Operasi LRT Kelana Jaya kembali normal mulai 6 pagi Rabu
Astro Awani
April 16, 2024 23:51 MYT
April 16, 2024 23:51 MYT
KUALA LUMPUR: Kekerapan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) akan kembali beroperasi secara normal mulai jam 6 pagi Rabu (17 April) susulan gangguan bekalan kuasa yang berlaku pada petang Selasa melibatkan laluan Kelana Jaya.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan memaklumkan jadual perkhidmatan LRT laluan tersebut akan beroperasi dengan kekerapan tren tiga minit pada waktu puncak, dan tujuh minit bagi waktu luar puncak.
"Namun, beberapa fasiliti seperti eskalator dan lif di stesen LRT Kelana Jaya, Taman Bahagia dan Asia Jaya masih lagi belum berfungsi.
"Kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan," katanya dalam kenyataan itu pada Selasa.
Jelas Rapid Rail lagi, penumpang-penumpang yang memerlukan bantuan khusus, boleh berhubung dengan petugas stesen dan anggota polis bantuan.
Dalam masa sama, Rapid Rail memohon maaf kepada para penumpang atas kelewatan dan kesulitan yang dialami.
Terdahulu, tiga stesen LRT laluan Kelana Jaya mengalami gangguan bekalan kuasa akibat disambar petir.
Menurut Rapid KL melalui Facebooknya, ia membabitkan Stesen Kelana Jaya, Taman Bahagia dan Taman Jaya.