Gangguan perkhidmatan LRT, Prasarana masih cuba kenal pasti punca

Astro Awani
November 9, 2022 11:20 MYT
Penggantungan selama seminggu diumumkan selepas mengambil kira faktor keselamatan kepada para penumpang. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad mendedahkan punca gangguan kepada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik (ATC) pada perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya masih belum dapat dikenal pasti.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Azharuddin Mat Sah, gangguan tersebut yang mengakibatkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan juga tren menyebabkan tren-tren tidak dapat beroperasi secara automatik di antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park.
Jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini, masalah ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
Sehubungan itu, pihak Rapid Rail kini dibantu oleh satu pasukan khas pihak pengilang peralatan asal OEM, Thales Group dari Toronto, Kanada bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.
Ini merangkumi ujian-ujian ke atas peranti dan perisian sedia ada.
Menurut beliau penggantungan selama seminggu diumumkan selepas mengambil kira faktor keselamatan kepada para penumpang serta masa yang akan diambil untuk mengenal pasti punca gangguan dan sesi ujian.
Sementara itu, perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan bagi menampung penumpang dan mengurangkan kesesakan di stesen-stesen yang terjejas.
Prasarana turut memohon maaf atas segala kesulitan ekoran kejadian adalah amat dikesali.
Pengguna yang mahu mendapatkan perkembangan status perkhidmatan terkini serta maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas perantara, boleh merujuk kepada saluran media sosial Rapid KL dan juga aplikasi PULSE.
#LRT #Stesen Kelana Jaya #Stesen Ampang Park #prasarana
;