Gangguan panggilan, MCMC nasihat bekas CEO PNB buat laporan

Bernama
Jun 16, 2020 19:42 MYT
MCMC memandang serius perkara berkenaan serta dakwaan berlaku penggodaman akaun e-mel korporat dan profil LinkedIn milik Abdul Jalil.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Presiden Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Abdul Jalil Abdul Rasheed, supaya membuat laporan kepada pihak polis dan suruhanjaya itu, berhubung dakwaan gangguan panggilan daripada nombor tidak dikenali yang diterimanya.
MCMC dalam kenyataan hari ini menyatakan, mereka memandang serius perkara berkenaan serta dakwaan berlakunya penggodaman ke atas akaun e-mel korporat dan profil LinkedIn milik Abdul Jalil.
"Sehubungan itu, beliau dinasihatkan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC, untuk penelitian serta siasatan lanjut," kata MCMC.
Abdul Jalil meletakkan jawatan sebagai CEO dan presiden kumpulan PNB semalam, dan menerusi pendedahan di akaun Twitter miliknya, beliau mendakwa menerima ugutan dan serangan peribadi, sejak minggu lalu.
Abdul Jalil mendakwa menerima panggilan telefon menggunakan bahasa kesat daripada nombor peribadi, dan akaun LinkedIn turut digodam.
-- BERNAMA
#Abdul Jalil Abdul Rasheed #CEO #MCMC #Permodalan Nasional Berhad #PNB #SKMM #Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
;