Gangguan MRT: Budaya penyelenggaraan tren akan dipantau - Anthony Loke
Fareez Azman
Januari 13, 2023 14:58 MYT
Januari 13, 2023 14:58 MYT
SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan terus memantau budaya penyelenggaraan berkaitan tren di negara ini.
Ia susulan kejadian sebuah tren perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang yang mengalami masalah teknikal pada Khamis.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya akan memantau isu itu lebih dekat.
"Ya, semalam ada gangguan MRT laluan Kajang, memang saya minta bahawa pihak pengurusan buat penjelasan berkenaan apa yang berlaku.
"Itu memang masalah teknikal seperti apa yang berlaku sebelum ini, ini untuk laluan MRT.
"Sepatutnya laluan MRT ini lebih baharu, baru berkhidmat dalam 5 hingga 6 tahun, sepatutnya perkhidmatan baharu tapi ada sedikit masalah teknikal.
"Memang pihak pengurusan sedar khususnya kepada pertukaran roda-roda dalam tren kita dan ini dalam perhatian kita," jelasnya dalam sidang media di Seremban pada Jumaat.
Mengulas lanjut jelas Loke, tempoh enam hingga lapan bulan diperlukan untuk proses penyelenggaraan dijalankan bagi tren-tren di negara ini.
"Memang kita tahu masalah ini amat membelenggu perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan MRT kita, orang ramai tentu berasa kecewa dan dukacita.
"Kita akan terus memantau dan terus mengubah budaya penyelenggaraan kita, supaya ke arah lebih baik.
"Memang memerlukan masa, dalam tempoh enam hingga lapan bulan akan datang banyak tren kita perlu diselenggarakan, kita hanya akan dapat mempersiapkan penyelenggaraan banyak tren ini menjelang suku ketiga tahun ini," katanya lagi.
Semalam, ratusan pengguna MRT laluan Kajang terkandas, selepas tren dinaiki mereka mengalami tekanan angin yang rendah di Stesen Pasar Seni.
Prasarana dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan, kerja baik pulih berjaya diselesaikan dan perjalanan bagi laluan Kajang kembali normal pada Khamis.