Gangguan KLIA, belum ada petunjuk disabotaj - Ketua Polis Negara

Astro Awani
September 8, 2019 18:00 MYT
Petugas Malaysia Airports membantu para penumpang yang memenuhi ruang kaunter pendaftaran masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang mengalami gangguan sistem pada 23 Ogos lalu. - Gambar fail/BERNAMA
Siasatan terhadap gangguan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ogos lalu mendapati tiada petunjuk drastik berlakunya perbuatan sabotaj.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan masih dan pihak polis masih mendalami kes ini berdasarkan keterangan diambil sebelum ini.
Polis juga kata beliau sedang mendapatkan pandangan pakar bahagian teknologi maklumat (IT) untuk mendapat fahaman lebih tinggi.
“Kita masih jalankan siasatan dan buat masa ini tiada petunjuk drastik ke arah itu (perbuatan sabotaj).
“Kita masih mendalami kenyataan yang diambil itu dan kita turut memanggil pakar dalam bidang itu untuk membantu mendapatkan kefahaman dalam perkara itu,” katanya ketika sidang media selepas Lawatan Kerja Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar di Lapang Sasar Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, siang tadi.
Pada 27 Ogos lalu, MAHB membuat laporan polis berhubung gangguan operasi yang berlaku di KLIA.
Laporan dibuat Pengurus Besar Kanan IT MAHB dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
#Abdul Hamid Bador #Cheras #IT #Ketua Polis Negara #KLIA #MAHB #perbuatan sabotaj #siasatan #Teknologi Maklumat
;