Gangguan IT global: Operasi Malaysia Airlines, AirAsia dan MAHB tidak terjejas

Bernama
Julai 19, 2024 09:32 MYT
Difahamkan gangguan itu juga tidak menjejaskan operasi Malaysia Airlines. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak terjejas oleh gangguan IT global yang mengakibatkan sebahagian besar perjalanan tergendala di Eropah, Amerika Syarikat dan lapangan terbang Australia.
Sementara itu, syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia berkata tiada pembatalan penerbangan berlaku meskipun ia mengalami gangguan sistem dalaman.
Difahamkan gangguan itu juga tidak menjejaskan operasi Malaysia Airlines.
Bagaimanapun, penerbangan ke destinasi yang terjejas akibat gangguan IT global itu boleh menjejaskan penerbangan Malaysia Airlines, meskipun tiada pembatalan setakat ini.
Dilaporkan berlaku gangguan perjalanan di seluruh dunia susulan gangguan IT yang dikaitkan dengan firma keselamatan siber global Crowdstrike.
CrowdStrike Holdings Inc ialah sebuah syarikat teknologi keselamatan siber Amerika yang berpangkalan di Austin, Texas. Ia menyediakan beban kerja penembusan dan keselamatan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan serangan siber.
-- BERNAMA
#gangguan IT global #MAHB #serangan siber #Malaysia Airlines #AirAsia #tidak terjejas #Crowdstrike