Gangguan IT global: MAG sahkan jadual penerbangan Malaysia Airlines, Firefly tidak terjejas

Bernama
Julai 19, 2024 11:21 MYT
Malaysia Aviation Group (MAG) mengesahkan jadual penerbangan untuk Malaysia Airlines dan Firefly hari ini kekal tidak terjejas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) mengesahkan jadual penerbangan untuk Malaysia Airlines dan Firefly hari ini kekal tidak terjejas dan tiada penerbangan dibatalkan disebabkan gangguan perkhidmatan oleh penyedia perkhidmatannya.
Bagaimanapun, katanya isu ini telah menjejaskan sistem tempahan dan daftar masuk dalam talian Firefly.
"Firefly bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan untuk menyelesaikan isu ini dan memulihkan sistem secepat mungkin," menurut MAG dalam kenyataan hari ini.
Terdapat laporan berita dari seluruh dunia mengenai gangguan perjalanan. Ia merujuk kepada isu berkaitan dengan firma keselamatan siber global Crowdstrike.
CrowdStrike Holdings Inc ialah syarikat teknologi keselamatan siber Amerika Syarikat (AS) yang berpangkalan di Austin, Texas. Ia menyediakan perkhidmatan beban kerja penembusan dan keselamatan peranti serta menganalisis ancaman dan serangan siber.
-- BERNAMA
#gangguan IT global #Malaysia Airlines #Firefly #jadual penerbangan