Gangguan IT global: Kesan kepada Malaysia besar - NACSA

Astro Awani
Julai 19, 2024 10:36 MYT
Menurut agensi tersebut, gangguan itu memberi kesan kepada pelbagai sektor kritikal seperti saluran televisyen, lapangan terbang dan bank. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Agensi Keselamatan Cyber Negara (NACSA) memaklumkan gangguan global yang menjejaskan pengguna Microsoft, telah memberi kesan yang ketara di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Menurut agensi tersebut, gangguan itu memberi kesan kepada pelbagai sektor kritikal seperti saluran televisyen, lapangan terbang dan bank.
"Ia termasuk operasi di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah terjejas, menyebabkan proses daftar masuk manual dan masa menunggu yang dilanjutkan.
"Begitu juga, operasi bank telah menghadapi gangguan sistem yang telah mengganggu transaksi dan perkhidmatan pelanggan," katanya dalam kenyataan itu hari ini.
NACSA menambah situasi yang berlaku ketika ini bukan serangan siber, sebaliknya ia melibatkan keselamatan siber tetapi kesan gangguan tersebut terhadap Malaysia disifatkan sebagai besar.
"Ia telah menyebabkan kelewatan dan cabaran operasi merentas pelbagai sektor, yang menjejaskan kedua-dua perniagaan dan orang ramai.
"Pihak kami sedang memantau keadaan secara aktif dan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan berkaitan untuk mengurangkan kesan dan memulihkan operasi secepat mungkin," ujarnya.
Sehubungan itu, Nacsa mengesyorkan beberapa langkah termasuk, kekal berwaspada, selain mengurangkan risiko.
Dalam masa sama, Nacsa sedang dalam proses mengumpul statistik yang lebih terperinci dan akan memberikan kemas kini selanjutnya apabila.
#Gangguan siber global #Gangguan IT di Malaysia #Agensi Keselamatan Cyber Negara #NACSA