Gangguan IT global: Kerajaan tunggu laporan penuh Microsoft, Crowdstrike - Gobind

Umavathi Ramayah
Julai 29, 2024 12:31 MYT
Gobind menegaskan beliau mengambil pendirian tegas bahawa apabila membina satu rangkaian yang meluas, ia sepatutnya selamat digunakan. - Foto fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meminta Microsoft dan Crowdstrike menyediakan laporan penuh berhubung gangguan sistem teknologi maklumat (IT) global pada 19 Julai lalu.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo menegaskan beliau mengambil pendirian tegas bahawa apabila membina satu rangkaian yang meluas, ia sepatutnya selamat digunakan.
"Kejadian yang berlaku pada 19 Julai lalu menunjukkan kelemahan pada sistem sedia ada. Di kementerian, saya sudah menyatakan pendirian tegas bahawa sama ada Microsoft, Crowdstrike atau syarikat-syarikat lain yang bertanggungjawab perlu memberi jaminan selepas berlaku kejadian ini, satu audit perlu dilakukan untuk menunjukkan kejadian sama tidak berulang lagi.
"Kita memandang serius perkara ini, sebarang rangkaian yang ditawarkan perlu selari dengan tanggungjawab bahawa sekiranya wujud kelemahan, ia perlu diuruskan secepat mungkin.
"Saya sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak terlibat, mereka dalam proses mendapatkan laporan dan selepas laporan itu dibentangkan, saya akan membuat satu sidang media," katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian perjanjian kerjasama antara Digital Nasional Bhd (DNB) dan Cybersecurity Malaysia untuk meningkatkan keselamatan siber rangkaian 5G Malaysia di sini, pada Isnin.
Sebelum ini, Gobind berkata, lima agensi kerajaan dan sembilan syarikat swasta terjejas akibat gangguan sistem teknologi maklumat (IT) pada 19 Julai lalu.
Agensi berkenaan ialah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Institut Kesihatan Negara dan Lembaga Zakat Kedah.
Selain lima agensi berkenaan, sembilan syarikat swasta turut terkesan membabitkan sektor penerbangan, perbankan dan kesihatan.
#keselamatan siber #Digital Nasional Bhd #Microsoft #Crowdstrike