Gangguan IT global: Keadaan kian pulih, tiada lagi beratur panjang di Terminal 2 KLIA

Ridauddin Daud
Julai 19, 2024 22:07 MYT
Kaunter daftar masuk pelepasan antarabangsa yang sesak teruk pada petang dan malam tadi juga dilihat sudah lengang pada jam 10 malam. - Astro AWANI
SEPANG: Keadaan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semakin terkawal selepas ramai penumpang dilihat selesai proses daftar masuk.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, situasi sesak yang berlaku sejak petang Jumaat mula berkurang bermula pada jam 8.45 malam.
Kaunter daftar masuk pelepasan antarabangsa yang sesak teruk pada petang dan malam tadi juga dilihat sudah lengang pada jam 10 malam.
Begitupun, sistem daftar masuk masih mengalami masalah, belum pulih sepenuhnya dan operator lapangan terbang sentiasa memaklumkan perkara tersebut selang 10 minit.
Berdasarkan tinjauan, kiosk daftar masuk dilihat sudah boleh mula digunakan namun penumpang turut dinasihatkan ke kaunter untuk mendaftar masuk bagi memudahkan urusan.
Seorang penumpang yang hanya ingin dikenali sebagai Farah berkata, tiket penerbangannya pada 10.20 malam namun datang awal ke lapangan terbang selepas melihat berita gangguan internet yang berlaku.
“Saya datang sedikit awal, takut juga kalau tak dapat daftar masuk. Harapnya tiadalah lewat jadualnya, risau juga,” katanya ketika ditemui di Terminal 2 KLIA.
Dalam pada itu, seorang warga Indonesia dikenali sebagai Ema berkata, dia dan keluarga menunggu lebih sejam sebelum selesai urusan daftar masuk.
“Lama saya tunggu, lebih sejam juga. Memang panjang betul beratur, tak pernah saya tengok keadaan macam ini.
“Memang dari petang ada gangguan, ramai yang bising tapi tak boleh buat apa, kami tunggu sajalah,” ujarnya.
Pemerhatian Astro AWANI juga mendapati kakitangan AirAsia sibuk membantu penumpang malah difahamkan, semua yang di pejabat diarahkan untuk ke Terminal 2.
Kakitangan tersebut memberi air kepada penumpang selain membantu mereka mendaftar masuk dan menjawab segala pertanyaan daripada penumpang.
#gangguan IT global #KLIA #Terminal 2 #AirAsia #penerbangan
;