Gangguan internet tidak jejas rakaman prosiding rayuan Najib

Ridauddin Daud
April 7, 2021 16:28 MYT
Masalah tersebut timbul apabila berlakunya gangguan internet melibatkan Putrajaya Campus Network (PCN) di Bangunan Istana Kehakiman dan beberapa agensi kerajaan lain. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Rakaman prosiding rayuan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa langsung tidak terjejas meskipun berlakunya gangguan internet selama lebih sejam semalam.
Menurut kenyataan Pejabat Kedua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan Malaysia, masalah tersebut timbul apabila berlakunya gangguan internet melibatkan Putrajaya Campus Network (PCN) di Bangunan Istana Kehakiman dan beberapa agensi kerajaan lain.
"Gangguan ini menyebabkan Tayangan Langsung prosiding Rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman untuk pengamal media tidak dapat ditayangkan.
"Bagaimanapun, gangguan tersebut tidak menjejaskan rakaman prosiding rayuan di Mahkamah Terbuka yang mana semua Peguam dan Pendakwa Raya masih dibekalkan dengan salinan (soft copy) rakaman prosiding selepas prosiding berakhir," menurut kenyataan itu.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] SRC: Mahkamah dengar rayuan Najib
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada artikel sebuah portal berita bertajuk 'Shafee goes 'silent' for over an hour during SRC appeal', semalam.
#Najib Razak #SRC International #Mahkamah Persekutuan #Perdana Menteri #1MDB
;